Tamatlah sudah perjuangan Perak dalam saingan baik bola sepak mahupun futsal. Pencapaian yang cukup baik buat 'development club' Perak dalam Piala Presiden dan Belia tetapi sebaliknya buat skuad senior.
Benar, manalah mampu skuad sekecil Perak untuk menjuarai sebarang piala setiap tahun. Namun, prestasi Perak dalam beberapa perlawanan terakhir berada pada satu tahap di bawah par terutama selepas jendela perpindahan kedua, tidak seperti musim lalu.
Sejujurnya, saya mengharapkan 'sesuatu' memandangkan kita memiliki beberapa pemain kebangsaan yang berdiri sama tinggi, duduk sama taraf dengan Pahang dan Johor DT. Namun, sebaliknya pula berlaku tetapi cukuplah saya menuding jari kepada sesiapa.
Musim 2019 yang telah berakhir bermakna perancangan musim 2020 sepatutnya sudah mula berjalan. Isu kontrak yang belum dimuktamadkan, perancangan pra-musim, aktiviti bersama komuniti, hal jersi dan sebagainya sudah patut disegerakan sebelum November berakhir.
Perkara pertama yang penyokong Perak kena terima ialah kemungkinan penghijrahan pemain utama atau simpanan. Hal ini demikian kerana pemain akan 'demand' gaji dan bonus yang lebih tinggi jika mahukan khidmat mereka pada musim hadapan dan sudah pasti bukan semuanya dapat dipenuhi.
Perak sepatutnya berbelanja dengan realistik dan menetapkan gaji siling khas demi kelangsungan pasukan. Bagi saya, RM50,000-RM60,000 merupakan nilai gaji maksimum yang realistik untuk pemain tempatan bagi pasukan seperti Perak.
Berbalik kepada penghijrahan pemain, algoritmanya mudah dalam dunia bola sepak. Pemain utama perlu digantikan dengan pemain utama, pemain simpanan boleh digantikan dengan pemain berpengalaman atau gunakan khidmat pemain muda sahaja.
Mahu atau tidak, Perak perlu 'unload' beberapa pemain skuad semasa untuk memastikan kualiti kesebelasan utama dan 'second-string' tidak jauh beza. Namun, hal ini tidak bermaksud rombakan secara besar-besaran perlu dilakukan.
Pemain yang kurang beraksi atau kerap cedera perlu dipertimbangkan keberadaan mereka di dalam skuad. Namun begitu, pemain yang sedang cedera perlulah dibantu oleh PAFA dalam usaha untuk mendapatkan rawatan terbaik untuk mereka. Professional, bukan?
Beberapa pemain Piala Presiden juga menunjukkan aksi yang agak baik terutamanya di bahagian pertahanan. Penjaga gol Perak, Syakir Danial boleh jadi pilihan ke-3/4 memandangkan pemain tersebut memiliki saiz yang agak baik untuk beraksi di liga utama.
Sejujurnya, saya mendapati pemain-pemain Piala Presiden Perak memiliki kualiti tetapi 'lack of composure and decision-making'. Mereka berani tetapi mereka kurang kreatif dan 'perlukan bimbingan pemain senior' hasil tinjauan dalam 3 perlawanan terakhir mereka.
Dengan kontrak Mehmet dikatakan berakhir pada tahun 2021, dua persoalan besar timbul; adakah khidmat ETMINAN terus dipertaruhkannya? Sekiranya jawapan 'ya' diberikan, apa jaminannya Perak tidak berakhir dengan seorang lagi 'Ronaldo Henrique Silva'?
Jangan salah faham, Ronaldo seorang penyerang yang bagus jika dinilai dari segi kekerapan jaringannya. Namun, kita tidak perlukan lagi aksi 10 v 11 ketika transisi serangan kepada bertahan dan sebaliknya dalam aksi 90 minit permainan.
Perak juga perlu berhadapan dengan beberapa pemain yang semakin tua seperti Brendan Gan, Khairul Amri dan terutama sekali, Leandro. Perak perlu bersedia dengan pengganti mereka supaya 'kehilangan' mereka tidak dirasai suatu hari nanti.
Akhirulkalam, setakat ini sahaja dahulu saya berbicara mengenai beberapa perkara berkaitan skuad musim hadapan khususnya isu pemain. Beberapa artikel lain bakal menyusul sepanjang 5 bulan tanpa aksi bola sepak buat Perak.
Hal Perak lawan Selangor? Sudahlah bergocoh pasal gol ofsaid, bukannya ada 'rematch' pun. Paling-paling tidak, penjaga garisan tersebut akan digantung tugas. Lagipun, Perak kalah bukan sebab gol tersebut pun, Perak kalah atas kelemahan satu pasukan.
#Footballlads