header ads

WAJARKAH PKNS FC DITRANSFORMASIKAN SEBAGAI FEEDER CLUB KEPADA SELANGOR FA?


Oleh : Azhan Mohi

Semakin hangat diperkatakan mengenai PKNS yang bakal menjadi 'feeder club' untuk pasukan Selangor FA pada musim hadapan (2020).

Perkara tersebut dilaporkan semakin hampir menjadi kenyataan susulan sokongan daripada 47 ahli gabungan dalam kongres luar biasa Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Apa Yang Ada Pada PKNS?

PKNS bukanlah seperti kelab baharu yang lain. Mereka sudah berada di dalam piramid Liga Malaysia sejak tahun 1967 lagi, iaitu 52 tahun lalu.

Musim 2004 bermulalah kisah PKNS di kancah utama Liga Super Malaysia apabila mereka berjaya bermain di Liga Perdana selepas memenangi promosi dari Liga FAM sebelum itu.

PKNS memiliki lagenda yang pernah menggegar Liga Malaysia bersama skuad kebangsaan satu ketika dahulu.

Antaranya ialah Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Santokh Singh, R Arumugam, Datuk Soh Chin Aun, Reduan Abdullah, Rashid Hassan.


Biarpun tidak memiliki banyak kejuaraan besar yang boleh dibanggakan, PKNS tetap memiliki sejarah yang utuh sebagai antara kilang pasukan kebangsaan negara dan merupakan salah sebuah pasukan yang  konsisten bermain di Liga Malaysia.

Bukanlah Suatu Keputusan Terbaik

Tindakan Selangor untuk menjadikan PKNS sebagai 'feeder club' mereka adalah suatu tindakan yang merugikan bola sepak negara dan nakal menjejaslan kerancakan liga Malaysia selepas satu demi satu kelab hilang status sebagai pasukan premier termasuklah Johor FA (JDTII) dan T-Team FC (TFCII).

1. PKNS ialah sebuah pasukan legenda Malaysia dan bukan pasukan baharu. Mereka sudah lama bertapak di Liga Malaysia seiring dengan kewujudan pasukan negeri lain malah mereka juga mampu memberi saingan kepada pasukan besar.


Tambahan pula, mereka berjaya membangunkan pasukan walaupun tidak menerima dana yang besar. Pengurusan mereka sangat cekap dalam urusan liga.

2. Kehilangan PKNS yang akan diturunkan taraf ke di Liga Premier 2020 nanti pasti akan mengurangkan tahap kompetitif Liga Super itu sendiri. Walaupun tidak memiliki ramai pemain bintang, PKNS tetap mampu memberi saingan.

Misalnya pada musim 2016, mereka berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala FA. Walaupun tewas kepada JDT, mereka tetap memberikan saingan hebat dalam final tersebut. Adakah anda gembira untuk kehilangan finalis Piala FA 2016 ini?

Jika dilihat pencapaian pada musim 2018 pula, siapa sangka PKNS berjaya menduduki tangga ketiga. Kedudukan atasan Liga bersama Perak dan juga juara, JDT.

3. Kita juga tahu bahawa terdapat beberapa pemain import dan naturalisasi terbaik berserta dengan pemain kebangsaan dalam skuad PKNS FC seperti Akram Mahinan, Gabriel Guerra, Nick Swirad dan Kpah Sherman.

Adakah anda rasa mereka akan bermain untuk PKNS FC pada musim hadapan jika PKNS FC sah akan menjadi 'feeder club'? Semestinya agak sukar untuk menjamin perkara tersebut.


Hal ini seakan-seakan menutup peluang mereka untuk terus bersaing bersama PKNS FC. Sudah tentu mereka telah biasa dengan budaya PKNS FC, lebih-lebih lagi PKNS FC ialah sebuah kelab yang berdisiplin, mempunyai pengurusan yang baik dan  jarang berhadapan dengan masalah, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa pengurusan PKNS FC adalah lebih baik berbanding dengan FAS sendiri.

Pemain ini sudah tentu berkeinginan untuk kekal di Liga Super dan mereka perlu berhati hati untuk mencari pasukan baru nanti.

Jalan Penyelesaian 

Selangor FA juga masih ada satu lagi pasukan  naungan mereka di Liga Perdana iaitu UiTM FC. Walaupun UiTM FC memperoleh dana daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), namun UiTM masih lagi bernaung di bawah FAS. FAS boleh menjadikan mereka sebagai 'feeder club' berbanding dengan PKNS kerana mereka sudah sedia ada beraksi dalam Liga Premier. 

Selain UiTM FC, kelab Puchong Fuerza di liga M3 juga wajar dipilih sebagai calon 'feeder club' kerana kelab ini juga bernaung di bawah payung FAS. Adalah lebih baik sekiranya PKNS FC dibiarkan untuk berdikari dan terus maju ke hadapan. Pihak pengurusan mereka perlu menswastakan kelab ini dan tidak lagi mengharapkan dana daripada kerajaan negeri.


Dengan cara itu, beban dari kerajaan negeri akan berkurangan dalam urusan pengagihan dana kerana kita tahu PKNS juga mengharapkan dana kerajaan negeri.

#Footballlads