Umum tahu minggu lalu, bola sepak kita mendapat perkhabaran bahawa pemain yang memiliki susur galur Malaysia iaitu Wan Kuzain Wan Kamal bersedia untuk menyertai Malaysia B23 tahun dalam Sukan SEA.

Berita ini mungkin berita gembira untuk penyokong yang sentiasa menantikan beliau untuk bermain bersama skuad Malaysia,, apatah lagi, beliau merupakan seorang pemain yang berkualiti.




Tetapi tidak semudah itu.Kisah ini merupakan sebuah kisah yang mempunyai jalan cerita berliku kerana kita sendiri tidak tahu sama ada pada penghujungnya kita akan mencapai kepuasan ataupun kita sendiri yang terpaksa menelan kepahitan.

Prioriti !

Bapa beliau, Wan Kamal memberikan satu plot 'twist' yang menimbulkan pelbagai perasaan dan cara penerimaan daripada penyokong Malaysia sendiri.

Isunya, Wan Kuzain hanya mahu bermain untuk skuad Malaysia Bawah 23 kerana ketika Sukan SEA berlangsung, Liga Amerika yang Kuzain sertai sedang berehat panjang.

Daripada situasi tersebut, jelas menggambarkan bahawa Wan Kuzain hanya mahu menggunakan peluang beraksi untuk mengekalkan tahap kecergasan beliau sepanjang tempoh tamat musim liga beliau, walaupun mungkin beliau ada menyimpan hasrat untuk menggunakan peluang mewakili Malaysia di saingan Sukan SEA sebagai rasa terima kasih kepada Malaysia yang memberi fokus terhadap dirinya, lebih daripada apa yang media Amerika Syarikat berikan kepada beliau.


Tambah lagi, Wan Kamal juga berkata bahawa keutamaan anaknya adalah untuk cuba masuk ke dalam skuad senior Amerika Syarikat dan bermain di dalam Piala Dunia. Kenyataan tersebut pasti meruntun jiwa banyak rakyat Malaysia yang mempunyai semangat patriotik membara terhadap negara ini.

Idea tersebut bukanlah satu idea yang bernas bagi penulis sekiranya Malaysia memilih untuk menerima masuk Wan Kuzain ke dalam skuad Datuk Ong Kim Swee.

Kesan !

1. Situasi tersebut hanya memberi kelebihan sebelah pihak sahaja kepada Wan Kuzain. Situasi ini diibaratkan sebagai beliau menjadikan Malaysia sebagai satu perhentian yang takkan beliau singgahi lagi pada masa hadapan sekiranya beliau berjaya menyertai pasukan kebangsaan Amerika Syarikat.

Faedah kepada beliau ialah beliau dapat mengekalkan kecergasan beliau sedangkan apa yang akan Malaysia dapat nanti? Kita belum pasti akan mendapat pingat emas walaupun perkara itu tetap menjadi harapan penulis.

Apa yang cuba dimaksudkan adalah, sekalipun kita mendapat pingat emas, apa yang akan kita dapat pada masa hadapan? Kita tak akan mendapat sentuhan Wan Kuzain lagi kerana keutamaan beliau ialah Amerika Syarikat.




Misalnya pada Sukan SEA 2017, kita mempunyai Adam Norazlin, Irfan Zakaria, Safawi Rasid, Azam Azih, Syamer Kutty Abba yang akhirnya kini menjadi pemain sandaran kita di peringkat skuad senior kebangsaan.

2. Daripada mengemis khidmat pemain yang belum tentu akan memilih Malaysia sebagai pasukan kebangsaan, pasukan kecintaannya adalah lebih baik kita utamakan pemain yang sudah pasti akan kekal di Malaysia dan menjadi pertaruhan kita pada masa hadapan.

Kita mempunyai banyak lagi bakat muda daripada skuad Piala Presiden  yang kehausan peluang dancmampu dibangunkan oleh Datuk Ong Kim Swee menerusi platform Sukan SEA itu nanti. Ubi sejati yang memang akan sentiasa ada untuk berkhidmat buat Malaysia pada masa depan.

Pasti ada saja pemain yang sanggup meninggalkan peluang besar demi bermain bersama pasukan yang beliau rasakan akan lebih berpeluang untuk bermain.

Cheryl Chappuis, kelahiran Switzerland namun mula bermain untuk Thailand B23. Beliau sedar  Switzerland lebih berpeluang tinggi untuk ke Piala Dunia namun memilih bersama Thailand.




Konklusi:

Kita takkan mampu meramal masa hadapan, begitu juga Wan Kuzain. Beliau pernah dipanggil Amerika Syarikat Bawah 17 tapi ketika itu beliau sendiri gagal untuk menempatkan diri dalam kesebelasan utama.

Amerika Syarikat merupakan sebuah negara yang luas dancbesar, terdapat banyak lagi bakat lebih baik berbanding beliau. Pada usia 20 tahun, Amerika Syarikat sendiri sudah memiliki pemain berbakat dalam skuad utama iaitu Christian Pulisic.

Sergio Dest berumur 19 tahun, Josh Sargent juga masih berumur 19 tahun masing-masing sudah memiliki kap bersama skuad kebangsaan Amerika Syarikat sedangkan Wan Kuzain?

Bojan Krikic pernah melakukan kesilapan. Beliau boleh mewakili Croatia selain Sepanyol namun terburu buru sehingga memilih Sepanyol. Akhirnya kini beliau hanya ada satu penampilan sahaja sejak 2008 untuk Sepanyol.


Malaysia memang tidak mampu menjanjikan untuk berada di Piala Dunia tapi impian setiap pemain adalah bermain untuk skuad kebangsaan. Sewajarnya FAM tidak perlu memanggil Wan Kuzain kerana pemain ini tidak akan memberi kesan kepada bola sepak Malaysis pada masa mendatang kerana beliau hanya mahu bermain untuk senior Amerika Syarikat, tempat kelahiran beliau. 

Namun begitu, jika Wan Kuzain alan beraksi dalam sukan SEA buat Malaysia dan gagal mendapat tempat di kem Amerika Syarikat, semoga beliau akan mengenang kembali jasa negara ini kepadanya dan kembali untuk menabur bakti seikhlas hati, demi buat negara asal usul keluarganya yang tercinta dan bukan hanya untuk kebaikan dirinya sahaja.

#Footballlads