Oleh: Encik Cen

Minggu perlawanan antarabangsa sama ada persahabatan ataupun kelayakan Piala Dunia akhirnya selesai, dan liga-liga bolasepak akan kembali sibuk berlangsung pada hari esok.


Sedar tak sedar, selama dua minggu kita dihidangkan dengan aksi dan prestasi skuad Harimau Malaysia yang menarik minat banyak penyokong sejati Malaysia. Kita membuktikan bahawa kita mampu menelanjangkan Indonesia di kandang mereka dan kita hampir menutup ego Menara Tertinggi Dunia Dubai melalui keupayaan kita untuk hampir 'duduk sama rendah, berdiri sama tinggi' dengan skuad kebangsaan UAE.


Paling menarik bagi penyokong Chelsea yang berpasportkan Malaysia adalah terdapatnya persamaan secara tidak langsung yang boleh dilihat daripada persembahan yang dipamerkan Malaysia dan Chelsea yang menarik untuk sama-sama kita rungkaikan.


Persamaan tersebut ialah:


1. Frank Lampard (untuk Chelsea) dan Tan Ceng Ho (untuk Malaysia) sama-sama gemar bermain dengan sistem taktikal dengan Formasi 4-2-3-1.


2. Chelsea (dalam 3 perlawanan terakhir) dan Malaysia (menentang UAE) sama-sama bermain secara 'hard pressing', menyebabkan kedua-dua pasukan tampak mampu mencetus bahaya di depan pintu gol lawan.


3. Kedua-dua Chelsea dan Malaysia bergantung kepada sekurang-kurangnya seorang pemain sayap menyerang yang 'outstanding', Chelsea dengan Mount dan Malaysia dengan Sumareh untuk menggerakkan serangan berkesan tersebut.


4. Kedua-dua Chelsea dan Malaysia bermain dengan kedua-dua pertahanan kanan naik tinggi membantu serangan, dan ianya tampak berkesan dengan kedua-dua Cesar Azpilicueta dan Mathew Davies sangat hebat dalam menyokong serangan malah berjaya melakukan 'assist'.


5. Permainan 'high line' dan 'attacking run' kedua-dua sayap kanan Chelsea (Mathew) dan Malaysia (Azpilicueta) juga menyebabkan posisi mereka di bahagian bawah ditinggal kosong, menyebabkan lawan menjadikan kawasan tersebut sebagai lubuk untuk menyerang balas.


6. Permainan terbuka, pantas dan menyerang kedua-dua Chelsea dan Malaysia, menyebabkan ruang diantara pemain tengah (yang kebanyakannya naik membantu serangan) dan pemain pertahanan berjarak sangat luas, membuka ruang kepada lawan melakukan serangan balas pantas.


7. Permainan terbuka, pantas dan menyerang kedua-dua Chelsea dan Malaysia (sejak sepak mula), juga menyebabkan para pemain mula kepenatan pada 10 minit terakhir separuh masa pertama, dan langsung longlai pada baki separuh masa kedua, menyebabkan situasi selesa pasti menang sebelumnya, bertukar menjadi sebaliknya pada separuh masa kedua.


8. Permainan terbuka, pantas dan menyerang kedua-dua Chelsea dan Malaysia, juga menyebabkan kedua-dua 'Center Back' Chelsea dan Malaysia sentiasa terdedah kepada bahaya serangan balas lawan yang jelas sukar ditangani, dan ianya mengundang kebocoran pintu gol.


9. Kedua-dua sayap menyerang bahagian satu lagi, Pulisic untuk Chelsea dan Safawi untuk Malaysia, tampak tidak bermain dengan standard sebenar permainan mereka, menyebabkan Chelsea dan Malaysia kerugian tidak dapat menuai sesuatu daripada kedua-dua mereka seperti sepatutnya diperolehi.


10. Kedua-dua Chelsea dan Malaysia terlalu berharap kepada seorang pemain harapan di tengah-tengah padang, Kante buat Chelsea dan Brendan buat Malaysia, untuk menggerakkan perjalanan bola di antara 'box-to-box' bersekali menjalankan fungsi 'ball sweeper' dan 'defensive task' di kawasan tengah padang, sehingga menyebabkan fungsi kedua-dua pemain ini tampak tidak mungkin dapat diganti sesiapa di dalam pasukan.


Terlampau banyak persamaan bukan? 


Namun pendekatan dan keputuaan perlawanan Malaysia menunjukkan sebuah ilmu yang patut dipelajari Tan Ceng Ho sendiri, malah Frank Lampard juga, dalam memasang pendekatan yang lebih berdaya saing, sungguhpun kurang cantik kerana terpaksa lebih 'cool'  dan tidak terlalu menyerang.


Ia dapat dilihat dari perlawanan menentang Indonesia, bila Malaysia tidak bermain secara 'hard press' menentang Indonesia. Mereka yang 'cool' berjaya mengimbangi Indonesia, dan mula mendapatkan kelebihan selepas Indonesia kepenatan kemudiannya pada separuh masa kedua.


Ia sesuatu yang boleh dicontohi Frank Lampard, supaya 'cool' terlebih dahulu dengan memantapkan kekuatan bertahan, dan hanya mula mengeluarkan kebolehan menyerang ketika lawan sudah mula alpa atau kepenatan, bagi mendapatkan keputusan yang lebih baik berbanding sebelum ini.


Jikapun Lampard mahu bermula dengan 'hard press', pastikan ia cukup tajam untuk mendapatkan banyak gol dan terus membunuh perlawanan. Kegagalan Chelsea dan Malaysia menang sungguhpun terlebih dahulu menguasai permainan, adalah disebabkan oleh kegagalan kedua-dua pasukan membunuh perlawanan. Gagal membunuh, menyebabkan kedua pasukan akhirnya terbunuh.


#Footballlads