Tidak kira di mana-mana liga pun , pertemuan dua pasukan gergasi liga yang saling bermusuhan antara satu sama lain sentiasa menjadi perhatian penyokong kedua-dua pasukan. Perlawanan ini diibaratkan penentu kejuaraan liga dan perlawanan ini juga dianggap amat penting dan kadangkalanya diibaratkan seperti pentas 'Final' kerana ianya melibatkan pertaruhan MARUAH kelab masing-masing kerana daripada perlawanan ini, pemenang akan dikenang sebagai JAGOAN sebenar.




Hal Ini yang bakal berlaku dalam Liga Thailand pada hari ini apabila Muangthong United bakal melayani kunjungan Buriram United di SCG Stadium pukul 8 malam waktu Malaysia.

Sejarah Permusuhan 

Pada mulanya pertemuan kedua-dua pasukan ini tidaklah sehebat sekarang kerana tiada perkara yang berbangkit untuk mereka berdua menjadi musuh.

Namun ianya berubah pada 2012. Worami Makudi yang merupakan pemilik asal Muangthong United menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Thailand (FAT) ketika itu.

Pemilik Buriram United, Newin Chidchob telah mengkritik kreadibiliti FAT dan mempersoalkan sikap berat sebelah pengadil dan jadual pertandingan liga yang banyak memihak Muangthong United.




Makudi yang memiliki hubungan akrab dengan penyiar Liga ketika itu iaitu Siam Sport telah mengkritik hebat Newin dan Buriram menerusi siaran televisyen tersebut.

Pada 2012, Buriram memenangi Liga Thailand dan memohon untuk melakukan sambutan kemenangan di laman mereka sebelum perlawanan terakhir namun Makudi menolak permintaan tersebut.

Buriram yang berang hanya dibenarkan untuk meraikan kejuaraan dalam perlawanan terakhir di laman lawan, Chiangrai namun Buriram membalasnya dengan hanya menghantar dua orang staf untuk menyambut piala tersebut.

Tambahan dalam protes itu, tiada sambutan kejuaraan dilakukan Buriram.

Pertemuan Kelab Paling Berjaya Di Thailand

Ibarat Barcelona dan Real Madrid, Buriram United dan Muangthong United merupakan dua kelab paling berjaya di Thailand pada era bola sepak moden.

Sejak 2009, hanya dua kelab ini sahaja yang silih berganti untuk dinobatkan sebagai juara Liga utama Thailand itu dan ia merupakan penambah rasa dalam pertemuan mereka.




Muangthong memenangi empat kejuaraan liga sementara Buriram meraih enam kejuaraan termasuk satu kejuaraan sebelum mereka dijenamakan semula.

Head to head lebih memihak Buriram namun perlawanan ini sentiasa sukar untuk diramal pasukan mana yang akan memenanginya. Ditambah lagi dengan kekuatan yang dimiliki.

Musim ini perjalanan agak berbeza untuk kedua-dua pasukan. Buriram berada di tangga teratas sementara Muangthong menukar ketua jurulatih sebanyak dua kali.




Sebelum ini Muangthong terperosok di zon penyingkiran namun kini mereka berada di tangga keenam. Buriram dilihat lebih gemar menggunakan penyerang tempatan.

Mana tidaknya, penjaring terbanyak mereka ialah penjaring tempatan iaitu Suphanat Mueanta sementara Heberty menjadi penjaring terbanyak Muangthong.