Hampir kesemua pemain dalam skuad Malaysia kini pernah merasai nikmat dan pengalaman beraksi dalam kejohanan kelab peringkat antarabangsa iaitu Piala AFC dan Liga Juara-Juara Asia. Sebenarnya penyertaan kelab tempatan dalam kejohanan peringkat benua, terutamanya Liga Juara-Juara Asia (AFC) amat penting buat pembentukan skuad kebangsaan yang mantap kerana para pemain tempatan mendapat peluang untuk beraksi menentang pemain kebangsaan daripada negara-negara ranking 6 terbaik Asia.
Buktinya melalui kejohanan tersebut pemain tempatan daripada kelab Johor DT telah mendapat peluang 'mahal' untuk beraksi menentang pemain-pemain kebangsaan negara Asia Timur seperti Jepun, China, Korea dan negara Asia Barat dan Asia Tengah seperti Kuwait dan Tajikistan.
Begitu juga dengan Pahang FA yang mendapat peluang beraksi menentang FC Istiklol dari Tajikistan dalam saingan Piala AFC 2015 dan Perak FA yang mendapat peluang beraksi dalam perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (AFC) ,2018 apabila dapat merasai pengalaman beraksi di Korea Selatan menentang gergasi K-League iaitu Ulsan Hyundai.
Perlawanan-perlawanan ini amat penting buat pemain muda tempatan kerana kejohanan ini membuka peluang untuk anak watan negara kita mendapat peluang untuk membuka mata dan minda mereka untuk merasai pengalaman menentang kelab profesional dan pemain kebangsaan negara-negara tersebut, di samping melatih mereka untuk membiasakan diri dengan atmosfera dan keadaan cuaca di negara-negara tersevut yang mempunyai zon cuaca yang amat berbeza dengan Asia Tenggara. Pengalaman ini cukup bermakna buat mereka.
Sebagai contoh, pemain-pemain JDT yang disenaraikan untuk beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara AFC amat bertuah kerana mereka dapat bersaing dengan dua buah gergasi Asia iaitu Kashima Antlers (Jepun) dan Shandong Luneng (China), di samping kelab Gyeongnam dari Korea Selatan.
Selain beraksi menentang pemain-pemain dari negara tersebut, para pemain JDT juga mendapat bonus apabila mendapat peluang bersaing dengan pemain kelas dunia dari Shandong Luneng seperti Graziano Pelle dan Marouane Fellani. Kedua-dua orang pemain dari skuad kebangsaan Itali dan Belgium tersebut mempunyai pengalaman yang luas bersama skuad kebangsaan masing-masing dan pernah mewakili kelab-kelab hebat di Serie A dan Liga Perdana Inggeris.
Secara tidak langsung, pengalaman bermain di negara-negara Asia Timur, Timur Tengah dapat memberikan pengalaman buat pemain-pemain muda tempatan. Maka,sedikit sebanyak pemain-pemain muda kebangsaan seperti Safawi Rasid, Syafiq Ahmad, Akhyar Rashid, Adam dan pemain senior lain seperti Lavere Corbin-Ong, Farizal Marlias akan mendapat tonik keyakinan apabila terpaksa berhadapan dengan negara-negara ranking 5 terbaik Asia ini kerana mereka pernah merasai pengalaman berhadapan dengan mereka.
Sebagai bukti, Syafiq Ahmad yang pernah merasai pengalaman menjaringkan gol kemenangan JDT ke atas Kashima Antlers cukup tenang ketika melakukan tandukan gol pertama Malaysia menentang UAE semalam.
Secara logiknya, dengan kedudukan ranking Malaysia pada waktu ini, agak sukar untuk skuad negara mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa dengan negara-negara di ranking atas 100 dan terbaik Asia seperti Jepun, Korea, UAE, Iran, Arab Saudi dan sebagainya.
Maka, melalui penyertaan kelab tempatan dalam kejohanan antara kelab peringkat antarabangsa seperti Liga Juara-Juara Asia (AFC) merupakan medan terbaik untuk pemain tempatan mendapat pengalaman beraksi menentang pemain berkelas tinggi.
Selain daripada penyertaan di Piala AFC dan Liga Juara-Juara Asia, dengan ranking Malaysia yang berada di bawah angka 100, kelab-kelab Malaysia perlu mencari inisiatif untuk mengadakan perlawanan persahabatan peringkat antarabangsa dengan kelab yang lebih berkualiti.
Sememangnya bagi majoriti kelab-kelab Malaysia, kos akan menjadi isu utama untuk mereleasikannya. Namun, sekurang-kurangnya kelab-kelab atasan Liga Super Malaysia (MSL) yang berbajet lebih besar perlu cuba mencari peluang dan jalan untuk bermain menentang kelab dari Asia Timur atau Australia dan bukan hanya mengambil kelab dari sekitar Asia Tenggara seperti Indonesia atau Kemboja sebagai lokasi kem latihan.
Mungkin juga kelab-kelab tempatan seperti JDT, Pahang, Selangor atau Kedah boleh berkolaborasi dengan kelab ASEAN yang lain untuk menganjurkan kejohanan pra musim bersama dan menjemput kelab-kelab dari saingan Liga Juara-Juara AFC seperti dari Asia Timur, Australia atau Timur Tengah untuk menyertainya. Sekurang-kurangnya kos penganjuran dapat dikurangkan dan jalinan persahabatan dapat dibina.
Melalui persahabatan dengan kelab utama Asia, pelbagai usaha sama dan projek bola sepak terutamanya program akar umbi dapat dirangka dengan kelab-kelab tersebut.
Kesimpulannya, penyertaan kelab Malaysia dalam kejohanan antarabangsa berkait rapat dalam usaha FAM membentuk skuad kebangsaan yang lebih mantap dari aspek permainan dan aspek percaya diri. Pemain-pemain tempatan akan lebih berkeyakinan untuk 'duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi' dengan skuad kebangsaan negara asing kerana telah mempunyai pengalaman menentang pemain-pemain kebangsaan negara gergasi Asia dan sedikit-sebanyak menjadi senjata rahsia buat mereka untuk memahami perwatakan pemain lain dan mencari ikhtiar untuk bersaing dengan mereka.
Skuad Harimau Malaya kini adalah antara yang terbaik kini kerana menghimpunkan beberapa pemain muda yang berminda bola sepak moden dan dikuatkan dengan beberapa pemain darah campuran yang pernah beraksi di luar negara, pemain naturalisasi pertama negara iaitu Mahamadou Sumareh serta dilengkapi dengan jurulatih genius dengan taktikal bola sepak seperti Tan Cheng Hoe.
#Footballlads









