Oleh: Hairi Mohd

Apabila kita bercakap tentang perihal ganas penyokong Indonesia kita semalam, janganlah kita lupa akan insiden yang amat kita kesalkan pada tahun 2015 iaitu melibatkan perlawanan kelayakan Piala Dunia antara Malaysia menentang Arab Saudi di Stadium Shah Alam.  penyokong kita juga pernah melakukan protes terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan membaling flare dan mencabut kerusi stadium hingga perlawanan dihentikan pada minit ke-87. Amat memalukan negara pada waktu itu.

Pada waktu itu kita setaraf dengan mereka- hilang pertimbangan hingga menimbulkan kerosakan dan perspektif negatif orang luar terhadap negara. Pada masa itu kejadian tersebut mendapat liputan banyak media luar termasuklah media seperti The Guardian dan media-media terkemuka Eropah lain. Agak kesal untuk melihat orang kita memilih tindakan sedemikian. Protes melalui keganasan dan rusuhan tidak mendatangkan kebaikan malah kerosakan. Kerosakan dan kehancuran bukan cara penyelesaian yang bertamadun malah hanya meningkatkan rasa bimbang kepada pihak lain.

Amat kesal dan menggusarkan apabila melihat para penyokong kita mendapat layanan yang buruk daripada penyokong Indonesia kelmarin, namun tatkala kita mengungkapkan kekesalan terhadap insiden yang berlaku semalam, haruslah kita ingat bahawa dunia moden ini telah lama bergerak ke hadapan dan menolak segala bentuk kekerasan walau apa juga cara dan tujuannya. Semoga kita, rakyat Malaysia akan mengambil daripada iktibar atas kejadian lalu dan juga kejadian di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta semalam dan menanamkan iltizam untuk menjadi penyokong yang BERSIH akal dan minda apabila bermain di kandang sendiri. Ingatlah hanya rakyat dan negara dunia ke-3 sahaja yang  menggunakan rusuhan sebagai jalan penyelesaian kerana kurangnya daya pemikiran yang kritis. Malaysia bukan begitu dan kita tidak perlukan cara sedemikian untuk meraih perhatian.

Marilah kita mendoakan keberangkatan pulang para wira Malaysia dan penyokong setia Harimau Malaya yang berkunjung ke Jakarta. Terima kasih kepada mereka kerana telah berjuang atas nama Malaysia dan semangat kesukanan. Bagi para netizen hentikanlah segala balasan cemuhan dan perbalahan di dunia maya. Ingatlah peribahasa Melayu yang berbunyi ' Campak bungai dibalas dengan campak tahi'. Maka jangan sesakli kita melakukan perkara sedemikian san ayuh kekalkan status kita sebagai bangsa yang rasional dan dihormati seantero dunia sebagai rakyat yang mudah didekati dan berhemah tinggi.

#Footballlads