Bertandang ke Gelora Bung Karno, Sang Harimau teguh dengan misi mahu menang, namun ianya tidak mudah seperti biasa apabila Jakarta sentiasa sebuah medan dengan suhu panas menggelegak setiap kali melibatkan Malaysia.
Apa yang berlaku kemudiannya?
Malaysia bermula dengan formasi selamat 4-4-2, membariskan; Mohd Farizal Marlias | Matthew Davies, Shahrul Mohd Saad, Adam Nor Azlin, Corbin Ong Lawrence | Brendan Gan, Muhamad Nor Azam, Muhammad Safawi Rasid, Muahmmad Hadin Azman | Norshahrul Idlan Talaha, Muhammad Syafiq Ahmad.
Indonesia pula tampil dengan koordinasi 4-2-3-1 yang lebih 'balance' tetapi lebih mahu menyerang seperti berikut: Andritany Ardhiyasa | Yustinus Pae, Hansamu Yama, Manahati Lestusen, Ricky Fajrin | Zulfiandi, Evan Dimas Darmono | Andik Vermansah, Stefano Lilipaly, Saddil Ramdani | Beto Goncalves.
Ianya sepak mula perlawanan yang menjadi milik Indonesia, baik di tempat duduk penonton mahupun di dalam padang. Kedua-dua pasukan bermula dengan berhati-hati, menjadikan 10 minit awal perlawanan berkisar hanya mengenai pertarungan di bulatan tengah padang.
Namun, Indonesia tampil mengejutkan, bila mereka berjaya memperoleh gol awal, seawal minit ke 12 perlawanan. Ia bermula daripada situasi Malaysia yang cuba menyerang, namun Indonesia membataskannya dan merangka serangan balas pantas daripada bulatan tengah padang.
Usaha menyerang (tidak merbahaya) yang dipatahkan pertahanan tengah Indonesia tersebut, di halakan ke sebelah kanan padang, sebelum Saddil Ramdani diberi kebebasan untuk mengawal bola, mengoyakkan ruang-ruang diantara pertahanan Malaysia, membolehkan Beto Goncavles melakukan larian tanpa di kawal menyeberang dari kiri ke kanan, menerima umpanan dan menerobos gawang Malaysia untuk GOALLL pertama Indonesia.
Mendapat 1 gol, Indonesia menjadi lebih yakin, dan terus-terusan menambah tekanan dengan gerakan-gerakan serupa yang kebanyakannya bermula daripada 'build up' dari kawasan tengah padang, diikuti larian-larian ke bahagian sayap Andik dan Saddil yang diikuti hantaran terus yang beberapa kali memerangkap pertahanan Malaysia.
Menyedari Indonesia semakin mendominasi, Laksamana Ceng Ho membuat pertukaran cepat membawa masuk Mamadou Sumareh, dan ianya berbalas baik dengan gol penyamaan segera. Sumareh masuk menggantikan Hadin Azman yang kurang efektif, dan tampak belum sempat disedari pemain lawan untuk secepat kilat menonjol memberikan kesan.
Bermula daripada gerakan menyerang dimulakan Brendan Gan, hantaran cepat kepada Azam Azih dihidu Sumareh dengan larian di belakang pertahanan lawan, membolehkan lorongan dibuat kepada Sumareh yang tidak dikawal. Sumareh menyusul dengan larian sulong pantas ke bahagian kanan pintu gol Indonesia, sebelum menyilang bola dengan menggunakan permukaan kaki ke gawang gol yang sedang terbuka. Ianya GOALLLLL penyamaan, dan kedudukan bertukar menjadi 1-1.
Namun, bagai masih seronok dengan gol tersebut, selang masa 2 minit yang masih diraikan Malaysia menyebabkan Indonesia mengambil peluang. Bermula daripada situasi tidak merbahaya di hujung kanan padang, Mathew Davies hilang kawalan secara tidak sepatutnya, dan bola dirampas Andik. Andik yang 'skillfull' dan 'pace' kemudiannya melarikan bola dan memanipulasi ruang yang luas di antara 2 pemain Malaysia, menghantar kepada Beto untuk disudahkan dengan 'beautiful curling shot' yang mengegar jaring GOALLLLLL.
Persembahan 45 minit pertama merupakan penamat separuh masa pertama yang menduka citakan, kerana Indonesia masih mendahului sungguhpun Malaysia berjaya menyamakan kedudukan menerusi Sumareh. Namun gol Sumareh adalah ilmu berguna betapa Malaysia boleh memanipulasi Indonesia menerusi hantaran daripada kawasan tengah padang ke bahagian tepi kiri dan kanan yang memperlihatkan Indonesia sudah mula kepenatan.
Ceng Ho tampil pada separuh masa kedua dengan arahan taktikal tersebut, dan ternyata ianya berjaya membuatkan Malaysia lebih banyak menyerang menerbitkan bahaya demi bahaya kepada benteng pertahanan Indonesia. Tambah ampuh, Malaysia membawa masuk Akhyar yang licik dan (diikuti) Syamer Kutty Abba yang segar, menyebabkan Indonesia tambah terbakar dalam keadaan seluruh Gelora Bung Karno yang sememangnya sudah mula terbakar.
Penat lelah tanpa jemu Sang Harimau akhirnya menampakkan hasil pada minit ke 66, apabila Malaysia mendapatkan juga gol penyamaan sekali lagi. Berpunca daripada sepakan sudut, ianya memberikan situasi kacau bilau kepada pintu gol Indonesia, percubaan Corbin Ong yang diselamatkan 'dengan tangan' di atas garisan gol, muntah kembali, dan disilang Safawi dengan tujahan baik ke depan pintu gol. Ianya disambut Shafik Ahmad sebagai GOALLLLLL penyamaan sekali lagi.
Baki 30 minit perlawanan seyerusnya adalah milik Malaysia sepenuhnya, dengan usaha menyerang bertali arus yang sama sekali tanpa takut dan lelah. Kemasukan Syamer Kutty menyuntik lebih tenaga kepada bahagian depan Malaysia, menyebabkan Indonesia tampak lebih tertekan. Fokus Malaysia tampak untuk banyak memulakan serangan daripada bahagian sayap, dengan sayap kiri melalui Corbin Ong, Akhyar dan Syamer Kutty tampak lebih sehar mencuba dan terus mencuba gerakan-gerakan pantas dalam menyerang.
Ia akhirnya berkesudahan lumayan, bila mana Malaysia yang tidak putus asa tampak masih cergas ketika Indonesia sudah terkulai sebelum masa perlawanan lagi tamat. Ternyata arahan taktikal untuk 'hard press' di hujung-hujung masa ini memberikan Malaysia lebih keyakinan untuk terus dan terus mencuba, mendapatkan 3 mata penuh yang sangat dicari-cari.
Perlawanan malah terhenti 8 minit oleh para penyokong Indonesia yang kerasukan dan seolah tidak mampu menerima cara gol ke 2 Malaysia didapatkan, namun jalan penyelesaian berjaya dicari, keadaan diredakan dan Malaysia menyambungnya kembali untuk mendiamkan penyokong Indonesia yang tampak guruh dan gegak gempita sebelumnya.
Bermula daripada lontaran ke dalam Brendan Gan, Malaysia membangunkan perlawanan daripada kiri ke kanan padang, menuju hujung sisi kanan pula, bertujuan mengoyakkan struktur pertahanan Indonesia. Mathew Davies kemudiannya melorongkan hantaran silang baik ke dalam kotak penalti, melepasi 3 pertahanan Indonesia, dengan Syamer Kutty berfungsi mengganggu fokus pertahanan lawan, membolehkan Sumareh mendapat kedudukan terbaik menolak bola masuk ke pintu GOALLLLLL.
Sangat puas hati rasanya! Semangat Indonesia serta merta direnggut, sayap Garuda tiba-tiba dikepit, dan Malaysia akhirnya berjaya menamatkan perlawanan dengan kemenangan manis menumpaskan Indonesia 3-2, membolehkan Sang Harimau mengungguli kumpulan dengan selesa pada hari pertama perlawanan.
Kesimpulan
Sebuah pertarungan klasik dua negara yang hangat dan membara, dengan kedua-dua Indonesia dan Malaysia bermain dengan baik pada bahagian-bahagian tertentu perlawanan. Ianya penuh drama dengan atmosfera menakjubkan, permainan terbuka dengan banyak percubaan, disulam gegak gampita penyokong yang menghangat suasana, disudahi gol menyiat hati penyokong Indonesia.
Malaysia kelihatan bermula dengan pendekatan selamat, tidak terlalu menekan dan membiarkan Indonesia terlebih dahulu naik tinggi. Impaknya, Indonesia tampak sangat berbahaya, malah garisan bertahan Malaysia yang tinggi, memberi Indonesia ruang untuk mendahului, menyebabkan Malaysia akhirnya terpaksa membuat pertukaran awal.
Dari detik inilah Malaysia mendapat kelebihan, bila mana usaha Ceng Ho menampakkan hasil oleh gol Sumareh, malah gerakan pantas daripada sayap serangan akhirnya menjadi 'template' buat Malaysia meneruskan ancaman terhadap kubu Indonesia sehingga ke tamat masa, terutama dengan kemasukan kepantasan Akhyar kemudiannya, dan stamina dan ketegapan Syamer akhirnya.
Ia ternyata seumpama Secawan Kopi pahit manis panas yang sengaja disantap lewat malam, oleh mata yang segar bugar dan tidak mampu dilelapkan oleh kegembiraan menggagalkan cabaran Indonesia yang semenangnya diketahui sangat liat dan gagah di arena mereka sendiri.
Terima kasih Garuda oleh cabaran bermakna. Tahniah Sang Harimau oleh kemenangan taktikal dan persembahan penuh azam, tanpa kenal lelah dan erti putus asa, membolehkan Malaysia membuka langkah sangat kanan dalam saingan kelayakan Pra Piala Dunia / Piala Asia edisi kali ini.
Harimau mengaum,
Malaysia Boleh!
#Footballlads


