Menjelang beberapa hari sebelum perlawanan Indonesia menentang Malaysis, aku telah perasan tentang sesuatu perkara yang cukup 'hangat' di media sosial. Perkara tersebut ialah acara bermusim antara para penyokong Malaysia dan Indonesia yang masing-masing mula melancarkan roket 'perang psikologi' mereka dengan troll-troll dan kejian di media sosial.
Nilai positif yang aku nampak ketika itu ialah para penyokong Malaysia terutamanya dua Kumpulan penyokong terbesar liga Malaysia iaitu penyokong JDT dan penyokong Pahang saling berganding bahu dengan penyokong Kedah dan para penyokong pasukan lain dalam melawan peperangan di medan media sosial terhadap penyokong bola sepak Indonesia. Jika sebelum ini para penyokong kelab Malaysia ini saling berkelahi antara satu sama lain di media sosial, namun demi Malaysia, mereka berganding bahu melawan troll daripada pihak lawan.
Kemuncaknya adalah pada petang semalam iaitu sebelum perlawanan bermula, ribuan batu dikatakan menghujani para penyokong Malaysia di Stadion Gelora Bung Karno (SGBK), selain segelintir penyokong Indonesia yang dikatakan bertindak liar cuba mencederakan penyokong Malaysia di sana. Sama ada itu benar atau hanya diperbesar-besarkan, aku tidak pasti. Sebagai penyokong Harimau Malaya, aku tetap fokus kepada asukan kebangsaan negaraku dan tidak ambil pusing dengan perkara tersebutt.
Hasil rakaman video daripada para penonton seakan-akan membuktikan kesahihannya. Suasananya umpama di medan perang. Para penyokong terpaksa mengelak dan bertempiaran lari demi mengelak dari terkena tujahan batu dan serangan-serangan mental dari penyokong lawan yang berupa ejekan daripada penyokong lawan.
Ketika perlawanan bermula, jelas sorakan 'boo' kedengaran di GBK setiap kali pemain Malaysia mengawal bola. Keadaan di kerusi penyokong juga dilihat kurang aman apabila janji keselamatan diberi umpama angin yang bertiup pergi. Ekor Harimau Malaya masih diganggu dari sudut mental dan fizikal. Lontaran batu masih lagi meriah bersama lontaran flare ke atas penyokong Malaysia. Sehingga ada yang cedera! Paling menjijikkan ada juga lontaran air kencing di dalam botol ditujah kepada penyokong Malaysia.
Permainan diatas padang juga tidak kurang panasnya apabila masing-masing mencari gol untuk membuktikan siapa layak bergelar jaguh derbi ini. Sorakan menggila penyokong Indonesia kedengaran apabila Beto Goncalves meledak gol pertama.
Aku yang melihat di kaca televisyen selang seli melihat situasi yang di 'update' oleh rakan-rakan di GBK melalui telefon. Akhirnya gol Malaysia terhasil juga melalui Sumareh untuk sekurangnya menjadikan perlawanan ini bertambah rancak.
Sorakan 'boo' semakin kuat dan sorakan menyokong Indonesia semakin kuat kedengaran. Akhirnya Beto sekali lagi menceriakan penyokong Indonesia dengan jaringan kedua peribadi sekaligus menjarakkan kembali kedudukan Malaysia dan Indonesia.
Sewaktu minit ke-60+ perlawanan terpaksa dihentikan seketika. Di televisyen tidak dipaparkan situasi yang berlaku di GBK. Aku keliru dan berdebar menantikan apa yang sedang berlaku? Adakah sesuatu berlaku buat penyokong Harimau Malaya?
Melalui sumber media sosial, saudara dan rakan yang bertugas sebagai jurugambar di sana, rupanya segelintir penyokong Indonesia melakukan kekacauan di tempat duduk penyokong Malaysia dengan provokasi yang lebih keras. Ada beberapa penyokong sana dikhabarkan memecah masuk padang dan cuba merampas bendera Malaysia dan tifo yang digantung.
Aksi di atas padang kembali disambung setelah suasana kembali ditenteramkan. Malaysia semakin menggila menyerang biarpun menghadapi tekanan dihadapan ribuan penyokong lawan. Mental mereka cekal dan teguh mengangkat maruah negara. Hasilnya, Syafiq Ahmad kembali menyamakan kedudukan melalui satu tandukan padu untuk mengoyakkan mental penyokong lawan.
Ketika skuad Garuda semakin tidak bermaya, sebaliknya terjadi buat Harimau Malaya. Detik sejarah kembali tersergam indah di GBK buat penyokong Harimau Malaya apabila Sumareh meledak gol kemenangan ketika menanti waktu untuk wisel dibunyikan.
Sesuatu yang ditakuti penyokong Indonesia menjadi kenyataan! Masih terngiang-ngiang bait kata penyokong skuad Garuda, "Kita boleh tewas dengan mana-mana pasukan, tetapi tidak dengan Malaysia!".
Akibat tidak dapat menerima kenyataan, para penyokong Indonesia melakukan kekacauan dengan cuba menyerang dan diamuk dengan amarah akibat tidak dapat menerima kenyataan. Para pemain dan penyokong Malaysia terpaksa melupakan sebentar sambutan kemenangan terhadap lawan demi mengelakkan sebarang kecelakaan terjadi.
Kesemua penyokong dan pemai Malaysia terpaksa tunggu di stadium sehingga keadaan ditenangkan. Para pemain Malaysia mengulangi sejarah 2010 apabila sekali lagi menaiki Barracuda untuk keselamatan diri.
Begitulah kemuncak dan gilanya suasana perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022 Qatar di Gelora Bung Karno, Indonesia.
Walaupun pemain dan penyokong kita ditekan dari segi mental dan fizikal, pemain Malaysia membalas dengan sesuatu yang amat manis iaitu kemenangan terhadap pasukan tuan rumah.
Semoga para pemain dan penyokong pulang dengan selamat tanpa sebarang masalah. Pulangnya anda sebagai seorang pemenang yang kami julang bagaikan wira dari kenyalang.
"Tahniah Malaysia!"
Kredit foto: Khairil A Jaafar



