Selepas menumbangkan Chelsea 4-0 di halaman sendiri pada perlawanan pertama EPL musim ini, tentunya perlawanan Manchester United menentang Wolverhampton sangat ditunggu-tunggu.
Ia untuk melihat bagaimana United musim ini bermain menentang pasukan yang 'tight' dalam kerja bertahan dan 'keras' dalam adaptasi permainan, berbanding ketika menewaskan Chelsea yang bermain secara terbuka dengan kawalan ruang yang longgar.
Hasilnya, ia keputusan seri 1-1, keputusan yang mendukacitakan penyokong The Red Devils, sementelah mereka cukup yakin untuk menewaskan Wolves, mengambil kira 'peningkatan' yang mereka 'nikmati' ketika menewaskan Chelsea.
Daripada bacaan terhadap komentar penyokong United selepas perlawanan, ia seolahnya persembahan cemerlang ke atas Chelsea hilang begitu sahaja sebaik mereka gagal menewaskan Wolves, apatah lagi ianya terlalu hampir dilakukan namun gagal oleh sepakan penalti yang tidak memberi hasil.
Hakikatnya, Wolves adalah ujian lebih getir buat United berbanding Chelsea, sementelah Chelsea sendiri yang sedang dalam pembikinan semula, dan Wolves sendiri yang dalam fasa matang selepas melalui 1 musim pembikinan yang cemerlang pada musim lalu.
Menentang Chelsea, United tanpa disangka kembali bermain mengikut acuan Jose Mourinho, 'sit back' untuk tunggu peluang terbuka dan melancarkan serangan balas untuk kemudiannya beroleh 4 gol yang melonjakkan emosi para Red Devils.
Dengan Wolves, suasananya berbeza apabila United mendepani pasukan yang tampak lebih mahu menunggu dan bertahan (seperti mana United ketika menentang Chelsea), dan membiarkan United yang memegang bola, menghalang sama sekali adaptasi taktikal yang serupa Solksjear lakukan minggu lalu.
Ia akhirnya menampakkan United 'tewas' kepada Wolves dalam percaturan tersebut, dengan keputusan 1-1, dan kegagalan penalti Paul Pogba yang benar-benar menghiris, namun dalam konteks United yang punya impian untuk mencabar trofi Liga Perdana, keputusan itu tampak tidak buruk sangat kerana City juga hanya mampu berkongsi mata dengan Spurs, kedua-dua mereka adalah antara pencabar utama trofi tersebut.
Bagaimana Wolves berjaya mengikat United?
Wolves kekal dalam kubu mereka sendiri, mereka biarkan pasukan lawan yang memegang bola, mereka bertahan dengan ketat, malah (cuba) tidak langsung membenarkan lawan melakukan (sebarang) cubaan. Mereka kemudiannya gemar memerangkap lawan dengan serangan balas, menjadikan mereka sentiasa berjaya memerangkap pasukan kuat, kerana kebanyakan pasukan kuat memang berkebolehan dan gemar memegang bola untuk menyerang.
Ini juga sebabnya kenapa Wolves kurang perkasa bila menentang pasukan lemah atau setaraf dengan mereka, kerana perbuatan mereka 'sit deep' tidak mampu memberi manfaat, kerana pasukan lawan tidak terlalu menyerang seperti yang mereka mahukan, memaksa mereka naik dan mencatur gerakan, menjadikan ruang-ruang ketat di bahagian bawah mereka terbuka, dan mereka menjadi longgar untuk ditewaskan.
Namun ada beza United musim lalu ketika menangani Wolves, berbanding perlawanan kali ini, apabila United lebih bersedia menangani serangan balas Wolves yang dahulunya merobek mereka. Pada separuh masa pertama, United berjaya menghalang Wolves daripada melakukan langsung melakukan sebarang serangan balas, semata-mata disebabkan mereka sudah bersedia dengan apa yang Wolves gemar dan mahu lakukan.
Paul Pogba banyak berfungsi sebagai 'ball holder' ketika situasi menyerang, mengelakkan daripada bola terlepas kepada Wolves dan serangan balas dilakukan. Dalam banyak situasi juga, ketika seorang pemain United ke hadapan melakukan impak, Solksjear mengarahkan sekurang-kurangnya seorang lagi pemain untuk berada hampir bagi menangani sebarang situasi rampasan penguasaan kontingensi daripada Wolves.
Pendekatan United ini bijak. Ya, serangan mereka gagal ketana pertahanan ketat Wolves. Namun setiap kali Wolves cuba menyerang balas, United berjaya mengagalkan. Ya, United tidak berjaya memenangkan penguasaan semula, malah mereka tidak berjayapun merangka 'build up' sempurna ke tengah padang untuk kembali menyerang. Namun apa yang lebih daripada memadai, mereka berjaya menghalang serangan balas Wolves daripada maju ke kawasan merbahaya.
Ini lambang kepada kematangan Solksjear dalam pengurusan bolasepak, terutamanya dalam meladeni kancah EPL yang bukan langsung mudah. Solksjear memulakan musim lepas dengan menyerang, menyerang dan menyerang, kononnya dengan bolasepak cantik untuk akhirnya gagal menempatkan United di kedudukan 4 tempat terbaik. Musim ini tampak Solksjear banyak berubah, dan buktinya mereka bijak ketika menentang Wolves, malah ketika membelasah Chelsea juga.
Solksjear tetap mahu menang, maka United masih perlu menyerang dan berjaya dalam serangan. Untuk ini, Solksjear menggunakan James dalam kesebelasan utama, semata-mata sebagai 'dynamic booster' bagi membangunkan kekuatan United terhadap Wolves yang hanya mahu bertahan. Tugas James adalah melakukan larian-larian bertujuan mengoyakkan koordinasi pertahanan Wolves, namun James gagal bila dia lebih banyak melakukan kekasaran berbanding mencipta ruang untuk United mendapatkan peluang gol.
Namun, satu-satunya gol United terhasil menerusi adaptasi kelajuan dalam permainan, bila mana para pemain mereka berjaya lebih pantas dalam mengisi ruang kosong di antara pemain pertahanan lawan, untuk terus berlari dan melakukan hantaran pada ruang-ruang kosong (yang sempit) tersebut sehingga akhirnya sampai ke pada Martial untuk mendapatkan gol.
Seterusnya, perlawanan berterusan dengan United banyak memegang penguasaan dari tengah padang, tetapi buntu untuk bagaimana melepasi pertahanan ketat Wolves. Martial, sungguhpun mendapatkan gol tunggal United, ternyata gagal untuk memegang bola di kawasan lawan yang dipenuhi kawalan pertahanan yang ketat, begitu juga halnya dengan Marcus Rashford and Lingard.
Wolves mendapat gol menerusi satu gerakan 'set pieces', sebagaimana biasa Nuno Esperito lakukan untuk mendapatkan jaringan tatkala menentang pasukan kuat, dan ia kemudiannya berlanjut ke hujung masa dengan perlawanan yang (sedikit) terbuka dengan kedua-dua pasukan mahukan gol, United menyerang untuk memang, manakala Wolves menyerang balas untuk mencuba nasib.
Pogba akhirnya gagal penalti, namun ia tampak adil kerana Wolves juga memiliki satu cubaan baik terkena tiang. Ianya gambaran lawatan sukar United ke Molineux, dengan perlawanan yang tidak seimbang daripada perspektif penguasaan terhadap bola tetapi seimbang dari sudut peluang menerobos gawang. Wolves bukan sembarangan pasukan, dan United juga bermain baik untuk mengelakkan kekalahan.
#FootballLads