Selain Singapura yang punyai lambakan pemain naturalisasi satu ketika dahulu, Indonesia juga sering menggunakan naturalisasi untuk skuad kebangsaan mereka.
Masih ingat Cristian Gonzales yang menjadi antara taruhan Indonesia ketika Piala AFF 2010? Beliau merupakan peneraju kepada naturalisasi di Indonesia.
Beliau muncul naturalisasi pertama negara tersebut dalam bola sepak. Selepas itu muncullah nama seperti Raphael Maitimo, Diego Michiels dan Bio Paulin.
Malah bekas pemain import Liga Malaysia, Ilija Spasojevic dan Beto Goncalves juga antara pemain naturalisasi negara seberang tersebut.
Menjelang pertarungan pembukaan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023, Indonesia telah menyenaraikan enam pemain naturalisasi dalam skuad kebangsaan mereka.
Mungkin enggan maruah mereka dicalarkan Malaysia, mereka melakukan tindakan drastik untuk meramaikan pemain naturalisasi dalam skuad mereka.
Namun apa yang janggal ialah mereka menyenaraikan beberapa pemain naturalisasi yang boleh dikatakan hanya menunggu tahun untuk pencen.
Daripada enam pemain naturalisasi, hanya seorang iaitu Stefano Lilipaly yang berada di usia bawah 30 tahun iaitu pada usia 29 tahun. Beliau merupakan pemain kacukan Belanda dan Indonesia. Ibunya warganegara Belanda dan ayahnya warganegara Indonesia.
Baki lima lagi pemain? Paling tua ialah pada usia 38 tahun dan paling muda pada usia 32 tahun. Mungkin juga jurulatih Indonesia, Simon McMenemy menagih sosok tubuh fizikal daripada mereka dan pengalaman mereka.
1. Osas Saha (32 tahun)
Lahir di Nigeria dan ini merupakan panggilan pertama beliau bersama skuad Garuda. Sudah bermain di Indonesia sejak 2009 lagi.
2. Gweg Nwokolo (33 tahun)
Penyerang yang lahir di Nigeria namun hanya memenuhi karier bola sepak beliau di Asia Tenggara sahaja. Karier beliau bermula di Liga Singapura bersama Tampines Rovers. Sudah bersama skuad Indonesia sejak 2013.
3. Victor Igbonefo (33 tahun)
Sekali lagi warga Nigeria menjadi pilihan Indonesia. Bermain di posisi pertahanan, beliau bermain di Liga Thailand bersama kelab PTT Rayong. Beliau juga sudah banyak kali beraksi di Liga Thailand dan sudah menjadi pemain kebangsaan Indonesia sejak 2013.
4. Oktavio Dutra (34 tahun)
Merupakan seorang pertahanan tengah berasal dari Brazil dan sudah beraksi di Liga Indonesia sejak 2010. Ini merupakan panggilan kali pertama beliau untuk Indonesia.
5. Beto Goncalves (38 tahun)
Pemain naturalisasi paling tua untuk skuad kali ini. Penyerang asal Brazil ini pernah bermain untuk Pulau Pinang pada musim 2016. Beliau sudah beraksi di Liga Indonesia sejak 2009 dan mendapat panggilan pertama pada 2018.
Jadi adakah anda lihat ini satu peluang untuk mengeksploitasi barisan pemain Indonesia atau tidak? Namun jangan dilupakan, Malaysia juga pernah menggunakan 'kuda tua' dalam Piala AFF 2014.
Hasilnya Malaysia berjaya ke final walaupun berhadapan dengan pasukan yang lebih muda ketika itu seperti Myanmar, Singapura dan Vietnam.
Mengapa Indonesia memilih naturalisasi dari Nigeria yang berbadan besar? Mungkin juga ia mahu dijadikan sebagai kelebihan oleh Indonesia dalam pertarungan fizikal. Itu yang skuad kebangsaan harus waspada.