Oleh: Hairi Mohd
Kurang bersetuju jika prestasi semasa Afiq Fazail dijadikan perbandingan dengan dua pemain tengah JDT dan seorang bekas pemain JDT iaitu Harris Harun dan Natxo Insa serta Safiq Rahim. Safiq Rahim mempunyai peranan yang berbeza dengan Afiq. Safiq Rahim mungkin tidak beraksi dengan amat berkesan semasa diberikan peranan pemain tengah bertahan tetapi menjadi pemain tonggak ketika diletakkan sebagai pemain tengah menyerang ketika beraksi dengan taktikal Mario Gomez. Safiq Rahim cukup berbahaya apabila diletakkan di belakang dua orang penyerang utama JDT.
Harris Harun pula buat masa ini masih merupakan pemain tengah yang lebih baik berbanding dengan Afiq. Harris berperanan mengemudi barisan tengah dan memberikan bantuan kepada barisan pertahanan. JDT akan merasai kehilangan Harris berbanding dengan Afiq. Afiq lebih mendapat tuah, sama seperti Safawi pada suatu ketika dahulu kerana mendapat peluang bermain bagi menggantikan pemain pilihan utama yang mengalami kecederaan. Natxo mengalami kecederaan sejak awal musim.
Persembahan Natxo mungkin agak menurun pada penghujung musim lalu dan pada awal musim ini tetapi kita perlu mengambil kira persembahan beliau semasa berada pada prestasi terbaik. Persembahan beliau pada awal musim 2019 tidak boleh digunakan untuk membandingkan kualiti beliau dengan kualiti semasa Afiq Fazail ketika ini. Pada awal musim, beliau hilang sengat dalam beberapa perlawanan awal kerana masih dalam tempoh penyembuhan.
Terlalu awal untuk mengatakan Afiq adalah lebih bagus daripada pemain-pemain tengah di atas. Walau bagaimanapun, kita perlu mengakui bahawa Afiq Fazail sedang menikmati proses kematangan sebagai seorang pemain tengah berkualiti. Corak permainannya semakin matang dan tenang. Tidak mustahil dalam tempoh masa dua tahun lagi, Afiq boleh diangkat sebagai kapten pasukan JDT.
#Footballlads


