Malaysia bakal bertemu UAE dalam perlawanan seterusnya dalam misi mengutip 3 mata di Bukit Jalil. Episod duka 10-0 di King Zayed Stadium nyata meninggalkan parut yang jelas kelihatan dalam sejarah bola sepak negara.
Skuad kebangsaan telah tiba dengan lebih awal ke negara ini dengan tujuan untuk membiasakan para pemain mereka dengan keadaan cuaca di negara ini. Mereka juga telah mula kelihatan melakukan latihan di dalam negara ini.
Berdasarkan senarai 26 pemain yang dibawa oleh UAE, terdapat 7 pemain UAE yang turut berada di King Zayed Stadium pada tanggal 3 September 2015. Mereka ialah :
1) Ali Khasif (Penjaga Gol)
2) Khalid Issa (Penjaga Gol)
3) Walid Abbas (Pertahanan)
4) Omar Abdulrahman (Pemain Tengah)
5) Ismail Al Hammadi (Pemain Tengah)
6) Habib Al Fardan (Pemain Tengah)
7) Ali Mabkhout (Penyerang)
Nama yang sudah pasti menarik perhatian ramai semestinya pemain sensasi, Omar Abdulrahman dan penyerang berbisa, Ali Mabkhout. Ali Mabkhout merupakan duri dalam daging di sebalik peristiwa hitam 10-0 tersebut dengan menjaringkan hatrik.
Walau bagaimanapun, kelibat Omar Abdulrahman masih diragui kerana pemain bintang Asia ini baru sahaja bangkit daripada berehat panjang akibat kecederaan yang dialami pada tahun lalu. Omar tetap dibawa terbang ke Malaysia kerana 'aura' pemain ini tetap diperlukan oleh pasukan baik di atas padang mahupun di luar padang.
Malaysia pula turun dengan skuad berbeza dengan hanya 2 pemain yang turut tersenarai pada malam keramat tersebut; Nazirul Naim dan Matthew Davies. Cuma, Malaysia turun dengan status yang sama iaitu skuad naib juara Piala AFF Suzuki.
Sejujurnya, kualiti kedua-dua pasukan berada di tahap yang berbeza. Kemahiran individu, keupayaan teknikal dan kekuatan fizikal, semuanya berpihak kepada UAE. Malaysia ada apa?
Kita tidak boleh menganggap Malaysia akan bermain seperti menentang Indonesia. Ketika di GBK, Malaysia jelas membuli dan memanipulasi Indonesia dari segi stamina dan tekanan yang tinggi.
Itulah corak permainan tiga kelab utama di Malaysia; Pahang, Johor DT dan Perak. Brendan Gan memberi tekanan di seluruh padang dan memaksa pemain menghabiskan stamina mereka lebih cepat lalu bahagian serangan menyerang balas secara radikal tanpa belas kasihan.
Namun, UAE pasukan yang berbeza dengan kualiti pemain yang mereka miliki. Malaysia harus perbaiki kesilapan ketika bertemu Indonesia supaya Malaysia dapat mengekang asakan UAE dan menyerang dengan sempurna.
Jika Malaysia dapat menggunakan kekuatan fizikal Brendan Gan sepenuhnya dan 4 pemain free-role di bahagian serangan, kita mungkin berpeluang lebih baik dengan menambah mobiliti. Bukan menidakkan keperluan Mat Yo dalam pasukan, Malaysia perlu bebas bergerak dan pantas.
Secara logiknya, Malaysia dan UAE berada pada dua darjat yang berbeza. Harapan untuk menewaskan UAE boleh dikatakan amatlah tipis. Namun, bola sepak tidak memerlukan logik akal kerana apa pun boleh terjadi!
#Footballlads










