Oleh: Hairi Mohd
Pada malam tadi, Arsenal tidak menyajikan perlawanan yang diharapkan manakala Liverpool terus menuai hasil projek jangka panjang Jurgen Klopp di Liverpool. Liverpool mengatasi Arsenal di setiap posisi manakala Umai Emery melakukan sesuatu yang tidak dijangkakan apabila membuat penyusunan posisi pemain yang berbeza dengan perlawanan sebelumnya.
Kita dapat memahami bahawa skuad Arsenal yang baharu ini masih dalam mencari persefahaman berbanding dengan Liverpool yang telah sebati persefahaman antara mereka, namun Unai Emery seharusnya mengekalkan formasi yang sama demi meneruskan momentum kemenangan Arsenal biarpun semasa berhadapan dengan Liverpool FC.
Faktor utama kemenangan Liverpool FC pada malam tadi adalah disebabkan kepada taktikal magik dan falsafah bola sepak Jurgen Klopp. Kedua-dua pasukan mempunyai kualiti pemain yang setara, namun kebijakan Klopp yang menggunakan kelemahan Arsenal pada bahagian pertahanan cukup berkesan.
Jurgen Klopp bijak menggunakan kelebihan mereka ketika berhadapan dengan bahagian pertahanan Arsenal yang belum sempurna iaitu 'intensity' atau kecepatan. Bahagian serangan Liverpool bijak menekan barisan pertahanan Arsenal dengan kecepatan mereka sejak minit pertama lagi, manakala bahagian pertahanan Arsenal agak 'fancy' bagaikan tidak sedar akan ancaman hukuman mati ke atas mereka yang ada di depan mata.
Menjadi suatu tanda tanya apabila Unai Emery mengubah taktikal yang digunakan pada minggu lalu dengan mengubah Dani Ceballos dan Joe Willock yang cemerlang di bahagian tengah kepada posisi berbeza. Dani Ceballos yang menjadi nadi dan penyumbang gerakan kedua-dua gol pada minggu lalu diletakkan pada bahagian kiri dan Unai lebih memilih gandingan Granit Xhaka dan Matteo Guendouzi serta Joe Willock di bahagian tengah.
Gandingan Granit Xhaka dan Guendouzi tampak tewas kepada barisan tengah Liverpool iaitu Jordan Henderson, Fabinho dan Georginio Wijnaldum, manakala keserasian Willock dan Ceballos tidak dapat dijelmakan pada malam tadi.
Unai Emery sewajarnya memasukkan Alexandre Lacazette sebagai penyerang utama bergandingan dengan Nicolas Pepe dan Pierre Emerick Aubameyang agar memberikan keyakinan sejak minit pertama buat barisan penyerang Arsenal.
Unai seharusnya peka dengan isu menaikkan keyakinan pemain dengan meletakkan pemain utama dalam kesebelasan utama apabila menentang pasukan utama seperti Liverpool, Manchester City, Totenham, Chelsea dan Manchester United.
Dengan meletakkan Ceballos dan Willock di posisi yang berlainan dengan perlawanan lalu akhirnya memakan diri. Granit Xhaka kurang memberikan impak di bahagian bahagian tengah bertahan manakala Matteo Guendouzi seakan-akan sebuah kereta tanpa alat GPS di bahagian tengah dan seakan-akan belum bersedia untuk diturunkan bagi berhadapan dengan pasukan 'enam besar'.
Satu lagi kesilapan Arsenal adalah barisan pertahanan Arsenal yang berada terlalu bawah dan membiarkan pasukan lawan menekan mereka habis-habisan di zom pertahanan sendiri. Trio serangan Liverpool iaitu Sadio Mane, Firmino dan Mohamed Salah begitu cemerlang menekan pertahanan Arsenal dan faktor lain keberkesanan mereka ialah kerajinan dua pemain di bahagian pertahanan iaitu Trent Alexander-Arnold dan Andy Robertson yang sentiasa naik ke bahagian atas dan membantu trio serangan melalui hantaran+hantaran berbahaya ke kotak penalti lawan.
#Footballlads #LivArs