Sejak beberapa musim lalu, istilah feeder club sudah menembusi ilmu pengetahuan penyokong Liga Malaysia.
Jika dulu, perkara ini seakan mungkin tidak akan terjangka untuk dilaksanakan di Malaysia, kini ia berubah.
Jenis pasukan ini dipanggil dengan 'feeder club', 'development club', 'reserve club' atau apa-apa nama lain. Namun tujuan mereka sama iaitu untuk menjadi sokongan kepada pasukan utama.
Jika di Sepanyol dan Jerman, sistem seperti ini juga diguna pakai namun ia memiliki tujuan yang berbeza dengan apa yang pasukan di Malaysia lakukan.
Misalnya Barcelona, mereka memiliki Barcelona B dan majoriti pemain dalam skuad tersebut ialah pemain muda yang menunggu peluang untuk naik ke skuad senior.
Sama juga Borussia Dortmund II, ia merupakan tempat pemain muda untuk mendapatkan perlawanan kompetitif berbanding bersama skuad remaja.
Di Thailand juga memiliki sistem sama dan feeder club mereka dicampakkan jauh dari liga utama dan liga divisyen kedua. Ia juga meletakkan ramai pemain muda menganggotai skuad.
Tujuan feeder club di Eropah dan Thailand ialah untuk memberikan pemain muda mereka satu tempat untuk menonjolkan bakat mereka untuk bertemu pasukan lebih berpengalaman.
Ia bukan semata mata untuk menjadi tempat buangan pemain dari skuad senior, bukan kerana mahu menjimatkan wang mahupun kesempatan untuk membawa masuk pemain utama dari sana.
Berbanding di Malaysia, setiap pasukan memiliki niat dan mentaliti berbeza. Rungutan yang kedengaran sentiasa berkisar kepada kewujudan kelab yang menjadi mangsa di tukarkan status menjadi feeder club.
Terdahulu Johor DT menjadi perintis kepada kewujudan feeder club di Malaysia dengan kewujudan JDT II pada 2014.
Pada awal ia nampak satu perkembangan yang bagus apabila melihat ramai bakat muda dalam skuad JDT II namun kemudian ia dilihat semakin berubah.
2017 dan selepas itu, JDT II hanya dipenuhi oleh lambakan pemain berusia yang tidak mendapat tempat bersama skuad utama JDT.
Amirulhadi, Fazly Mazlan, Shakir Shaari dan Amer Saidin antara pemain tersebut. JDT II tidak lagi mempertaruhkan ramai bakat muda dalam skuad tersebut disamping beberapa pemain yang tidak mendapat peluang bersama skuad senior juga diturunkan bersama JDT II seperti Syazwan Andik.
Terengganu II pula ceritanya berkisar kepada usaha pengurusan untuk mengurangkan beban memiliki dua pasukan utama di Liga Super.
Dahulunya Terengganu memiliki skuad Terengganu dan T Team namun mereka akhirnya menurunkan T Team untuk diletakkan status mereka sebagai feeder club.
Namun bolehlah dipuji sedikit kerana Terengganu II seringkali menurunkan pemain muda di dalam skuad mereka. Malah ada pemain muda yang dinaikkan pangkat ke skuad utama.
Pada dasarnya objektif feeder club di Malaysia masih belum menemui tujuan sebenar iaitu meletakkan seberapa banyak pemain muda untuk menganggotai pasukan tersebut.
Feeder club sepatutnya tidak memerlukan pemain import dan pemain lebihan untuk kita melihat sendiri perkembangan pemain muda itu berdikari tanpa bantuan import.
Kita pernah lihat Harimau Muda tanpa pemain import berjaya menghasilkan kejayaan di peringkat liga, bertemu pasukan lebih berpengalaman dari mereka.
Jadi tidak salah untuk kita mengharapkan peraturan feeder club ditambah baik.
Sekarang, kebanyakan pasukan berkeinginan untuk mencipta feeder club adalah bertujuan untuk menjimatkan kos operasi pasukan.
Ia juga adalah tempat untuk meletak pemain lebihan yang tidak mendapat tempat dalam skuad utama dan sebagai jalan pantas untuk memperbaiki pasukan.
Misalnya pemain dari skuad utama tidak menunjukkan prestasi baik, mereka akan dengan mudah membawa masuk pemain dari feeder club untuk naik ke skuad utama.
#Footballlads