header ads

SAHAJA AKU MEREDAH LAUTAN GARUDA DI GBK SECARA BERSENDIRIAN DEMI MALAYSIA TERCINTA: BAHAGIAN 1



Perkongsian Oleh: Mr. F

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Terlebih dahulu ingin saya perkenalkan diri saya sebagai Mr F. Saya merupakan seorang penyokong skuad Harimau Malaya dari sebuah negeri di Malaysia. Saya lebih senang dan selesa bergerak sendirian ke stadium dan saya tidak menganggotai mana-mana kelab penyokong bola sepak atau kumpulan Ultras Malaya.  

Sebenarnya menonton perlawanan bolasepak secara langsung di Indonesia bukanlah kali pertama buat saya. Sebelum ini saya pernah menonton pertandingan bola sepak melibatkan kelab-kelab bola sepak liga Indonesia di sana. Untuk pertandingan antara negara Malaysia vs Indonesia ini adalah pengalaman kali pertama buat saya. 


Cuti seminggu telah saya mohon 2 minggu lebih awal untuk kesana. Tujuan saya kesana juga adalah untuk bersilaturahim dengan teman-teman saya yang merupakan pencinta bola sepak Indonesia.

Pagi 5 September 2019, beberapa jam sebelum pertandingan Kualifikasi Piala Dunia 2022 antara Indonesia vs Malaysia dimulai, saya berehat dan bersantai di hotel di Tanah Abang. Lebih kurang pada jam 5.00 petang waktu setempat, saya mendapat mesej pesanan WhatsApp daripada teman saya di Surabaya yang merupakan seorang jurnalis bolasepak menanyakan lokasi saya. 

Beliau juga mengirimkan video yang sudah viral di Twitter mengenai rombongan penyokong Malaysia dan Ultras Malaya yang telah diprovokasi dan dibaling objek keras contohnyac seperti batu ketika memasuki pagar kawasan penyokong lawan di Stadium Gelora Bung Karno (GBK).

Beliau memberi nasihat kepada saya agar berhati-hati sebelum saya bergerak ke sana. Hati sudah mula merasa sedikit gelisah dan gentar. Saya juga berfikir tentang beberapa perkara terutamanya langkah-langkah keselamatan yang perlu saya ambil untuk masuk dan keluar dari GBK dengan selamat. Sebentar lagi, saya akan bergerak bersendirian tanpa mana-mana sahabat dari Malaysia ke sana dan saya harus mengambil beberapa langkah keselamatan. 

Saya mengambil keputusan untuk memakai baju T berwarna hitam tanpa apa-apa lambang bercirikan Malaysia dan tanpa logo pasukan bola sepak negeri pujaan saya iaitu *****. Saya membawa beg sandang yang saya biasa bawa semasa pergi menonton perlawanan bola sepak, Namun, cabarannya ialah beg tersebut mempunyai logo Persatuan Bolasepak *****. 

Tanpa berlengah, saya mencapai pita pelekat kertas berwarna putih dan pen marker berwarna hitam yang sudah saya bawa dari Malaysia.

Saya sudah bersedia dengan segala kemungkinan untuk menyorokkan logo pasukan negeri kebanggaan saya itu. Pita pelekat berwarna putih itu warnakan kepada warna hitam dengan pen marker hitam, lantas saya melekatkannya di atas logo pasukan ***** tersebut. 

Ya saya berjaya “menyelamatkan nyawa” dan identiti saya daripada diketahui oleh penyokong Indonesia! 

Pada masa itu juga saya telah membuat panggilan telefon kepada teman saya iaitu penyokong Indonesia yang “baik” yang sudah berada di pekarangan stadium untuk membantu mengawal saya ke arah pintu masuk penyokong lawan di Zon 2.


Pada jam 5.45 petang saya bergerak menuju ke GBK dengan menaiki Grab Car. Tempoh perjalanan ke stadium agak perlahan kerana kesesakan lalu lintas atau istilahnya disini dipanggil “macet”. Jam sebegitu memang “macet” kerana warga Jakarta pulang dari kerja menuju ke rumah. Pada Jam 7.00 malam, saya sudah sampai di persekitaran stadium.


Dengan jalan yang “macet” saya terpaksa mengarahkan pemandu Grab Car untuk menurunkan saya di tepi jalan yang berhampiran dengan pintu tenggara GBK. Tujuan saya adalah untuk segera bertemu dengan teman Indonesia saya yang menunggu di FX Sudirmal Mall, berdekatan dengan GBK. Dengan bertawakal kepada Allah, saya keluar dari kereta dan berjalan kaki menuju ke sebuah pusat beli-belah yang bernama FX Sudirman Mall.


Sepanjang perjalanan itu saya bertembung dengan ramai penyokong Indonesia. Bayangkanlah kalau mereka mendapat tahu identiti saya sebagai penyokong Malaysia,  mungkin ceritanya akan lebih parah dan mungkin kisah saya akan muncul di kaca televisyen. Setelah lebih kurang 15 minit berjalan kaki, akhirnya saya sampai di FX Sudirman Mall dan bertemu dengan teman-teman Indonesia di situ. Mereka menasihati saya agar makan malam terlebih dahulu bersama dengan mereka dan saya mengambil kesempatan untuk solat maghrib disitu. 


Setelah selesai semuanya, saya dan dua orang teman Indonesia saya bergerak ke stadium. Sebelum mendapat peluang untuk masuk ke stadium, saya terpaksa beratur panjang bersama dengan ribuan penyokong Indonesia.


Sekali lagi saya berdoa kepada Allah supaya mereka tidak dapat mencium  saya sebagai seorang penyokong Harimau Malaya. Ketika beratur saya cuba untuk tidak bercakap dan hanya berdiam diri dengan dua orang teman Indonesia saya itu bagi mengelakkan mereka mengesan identiti saya melalui dialek percakapan saya iaitu dialek bahasa Malaysia.


Polis dan para petugas pertandingan sibuk memeriksa tiket, badan dan barangan yang dibawa oleh penonton ke dalam stadium. Kini tibalah saatnya  untuk saya diperiksa.Sekali lagi saya berdoa supaya pihak polis tidak mengajukan soalan kepada saya sama ada saya berasal dari Malaysia atau bukan sekiranya mereka dapat melihat bendera Malaysia yang saya simpan di dalam beg sandang saya. 


Saya berasa bimbang kerana saya dikelilingi  oleh ribuan penyokong Indonesia. Situasi ketika itu pasti akan menjadi lebih genting kalau beliau bercakap mengenainya.

Alhamdulillah anggota polis tersebut tidak memeriksa secara teliti dan barang bawaan saya di dalam beg sandang tersebut terselamat daripada pemeriksaan. Setelah melepasi pemeriksaan tiket saya dan dua orang teman Indonesia itu menemani saya dan segera berjalan dengan pantas menuju ke pintu Zon 2 yang menempatkan penyokong lawan (penyokong Malaysia). Setelah saya memasuki gate Zon 2, mereka beredar dan menuju ke pintu masuk untuk penyokong Indonesia. 

Ketika menaiki tangga ke Zon 2 saya diberikan bungkusan cenderahati daripada pihak penganjur iaitu barangan dari Official Garuda Store. Lagu kebangsaan Indonesia iaitu Indonesia Raya sedang berkumandang apabila saya masuk ke Zon 2. Saya terlepas peluang untuk menyanyikan lagu Negaraku sebelum lagu Indonesia Raya dimainkan. 




“Syukur, wow dan meremang bulu roma saya”

Itulah reaksi pertama saya sebaik sahaja berada di dalam kelompok penyokong Malaysia yang dikelilingi puluhan ribu penyokong Indonesia yang fanatik di dalam Stadium Gelora Bung Karno. Akhirnya cita-cita saya tercapai.



Perjuangan kami sebagai para penyokong Malaysia dimulai dengan lagu Inilah Barisan Kita dari Ultras Malaya dan penyokong Malaysia. Lagu tersebut cukup untuk  membuatkan kami semua bersemangat menyokong pasukan negara. Sementara itu, di sebelah tempat penyokong Indonesia,  penyokong Indonesia membalas dengan lagu-lagu mereka dan lagu-lagu ejekan dan hinaan terhadap Malaysia.

Sepanduk hinaan seperti “**** Malaysia”, ”Malaysia Maling Budaya”, ”Negara Pencundang”, ”Malaysia Itu ******” dan formasi koreo dari mereka yang tertulis “**** YOU LOSE” 

Sememangnya dapat kami lihat. Kami memang telah menjangkakan perkara ini akan berlaku. Kami semua hanya mampu bersabar dan tidak membalas provokasi dari mereka.

Tiba-tiba…...








Bersambung di BAHAGIAN DUA

#Football Lads