Oleh: Azhan Mohi

Pertahanan tengah dan bek kiri Vietnam, Doan Van Hau menyertai kelab Eredivisie Belanda, SC Heerenveen secara pinjaman dari juara liga Vietnam, Hanoi FC.

Beliau diberi pelepasan seketika oleh ketua jurulatih Vietnam, Park Hang Seo untuk ke Belanda bagi proses perkenalan kepada media di sana.



Pemain berusia 20 tahun itu bakal memakai jersi bernombor 15 bersama kelab yang menduduki tangga kesepuluh liga itu.

Selepas perkenalan kepada media di Belanda, Van Hau bakal pulang kembali bersama Vietnam untuk persiapan menjelang pertemuan menentang Thailand dalam kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia.



Vietnam berada sekumpulan dengan Malaysia, Thailand, Indonesia dan UAE dalam Kumpulan G bagi saingan kelayakan kali ini dan akan berhadapan satu perlawanan saja pada minggu antarabangsa ini.

Ini juga menjadi peneraju kepada bola sepak Vietnam apabila Van Hau merupakan pemain pertama Vietnam yang menyertai kelab di Liga Belanda.

Rakan sepasukannya, Nguyen Cong Phuong beraksi di Liga Belgium dan kini mereka berdua merupakan batu loncatan untuk para pemain Vietnam mencuba nasib pergi lebih jauh.




Pada usia 20 tahun, Van Hau merupakan pemenang Piala AFF bersama skuad Vietnam pada tahun lalu dimana mereka menewaskan Malaysia di aksi akhir.

Persaingan merebut tempat akan sengit untuk beliau di sana dan jika beliau mampu berada dalam kesebelasan utama, beliau berpeluang untuk bertemu kelab hebat seperti Ajax Amsterdam, PSV Eindhoven dan Feyenoord.