header ads

PELUANG HAZWAN BUKTIKAN PENGKRITIK SILAP

Oleh: Azhan Mohi

Malaysia bakal bertemu Indonesia dalam perlawanan sulung kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 pada 5 September, Khamis minggu hadapan.

Dari kem Malaysia, perasaan penyokong Harimau Malaya bercampur baur dengan pemilihan pemain yang kurang minit permainan, Hazwan Bakri yang terpilih.


Ada yang lantang menyuarakan tidak bersetuju, malah ada juga yang tampil mempertahankan tindakan Tan Cheng Hoe menyenaraikan penyerang Johor Darul Ta'zim itu.

Namun Tan Cheng Hoe ada sebab tersendiri mengapa beliau memilih untuk memanggil semula Hazwan Bakri masuk ke dalam skuad kebangsaan.

“Ramai orang akan mempersoalkan tentang pemilihan Hazwan Bakri kerana barisan kejurulatih masih percaya dia boleh memberi impak kepada pasukan kebangsaan. 

“Selama ini, kita ketandusan pemain di bahagian serangan dan ini peluangnya untuk bersama pasukan kebangsaan,” kata Cheng Hoe kepada Stadium Astro. 

Bagi penulis, benar apa yang dikatakan Tan Cheng Hoe. Negara kita benar - benar ketandusan penyerang. Perkara ini berlaku kerana setiap pasukan Liga Malaysia terlalu bergantung kepada penyerang import.


Sehinggakan Shahrel Fikri, penyerang terbaik yang Malaysia ada setakat ini pun tersisih bersama pasukan Perak. Malah lebih kerap digunakan sebagai pemain sayap.

Lebih menyedihkan, apabila ramai penyokong Perak sudah merungut mengenai penurunan prestasi Ronaldo, pengurusan Perak kekal menggunakan pemain tersebut.

Hazwan Bakri pula, rasanya Johor DT telah memberi peluang kepada beliau untuk mempamerkan bisa musim lalu namun sayangnya beliau gagal memanfaatkannya.


Beliau gagal menggunakan peluang tersebut seperti Safawi Rasid yang bijak menggunakan ketiadaan import untuk menyinar bagi merebut tempat.

Jadi jika tiada penyerang tempatan yang sering digunakan di Liga Malaysia, maka pengendali kebangsaan terpaksalah melihat kembali rekod lampau.

Jika mahu memanggil Safee Sali, ia sudah tidak relevan lagi kerana Safee sudah menjejak usia yang agak lanjut dan mungkin tidak sesuai dengan permainan Cheng Hoe.

Jadi siapa yang kita ada? Jawapannya sudah tentulah Hazwan Bakri. Antara penyerang yang berkesan sewaktu beliau beraksi untuk Selangor satu ketika dulu.

Kita sendiri belum saksikan apa yang Hazwan mampu lakukan musim ini jadi mungkin jika diberi peluang, Hazwan akan menampilkan permainan yang baik di atas padang.


Pertemuan dengan Jordan wajar menjadi medan untuk Hazwan diturunkan untuk menilai sejauh mana kemampuan beliau untuk menggempur.

Situasi sama saja seperti Piala AFF 2014, dua penyerang kita iaitu Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha juga jarang berada dalam kesebelasan utama JDT musim itu.

Tapi hasilnya, Malaysia tetap berjaya mara ke final dan jelas sekali mereka masih mampu menghasilkan sesuatu, kita harap Hazwan begitu juga.

#Footballlads #INAMAS #SGBK