header ads

Musim Baru Serie A, Beberapa Kelab Elit Segar Dengan Sentuhan Baru

Saingan Serie A telah bermula hujung minggu lalu dan pemburuan scudetto untuk setiap pasukan telah pun bermula. Pilihan utama sudah tentulah Juventus.

Namun cabaran pasukan lain tidak boleh dipandang mudah. Pasukan - pasukan di bawah Juventus sebelum pra musim lagi sudah memulakan rancangan untuk musim baru.

Juventus terpaksa melupakan khidmat pengurus mereka, Massimiliano Allegri yang mengundurkan diri beliau dari kedudukan tersebut hujung musim lalu.




Jika dahulu, 'Sarri Ball' menjadi musuh 'Old Lady', musim ini falsafah tersebut di bawa ke dalam kelab tersebut apabila pengasasnya, Maurizio Sarri dilantik sebagai pengurus baru.

Pencabar terdekat mereka, SSC Napoli kekal di bawah pengurus yang sama iaitu Carlo Ancelotti. Seorang pengurus berpengalaman. Pernah membawa AC Milan menjadi kelab paling digeruni satu ketika dahulu.

Musim ini, pertahanan Napoli diperkuatkan dengan kehadiran Kostantinos Manolas daripada AS Roma. Pertahanan yang menjadi rebutan Manchester United sebelum ini. Napoli juga membawa masuk Hirving Lozano, pemain kebangsaan Mexico.




Inter Milan juga hadir dengan wajah berbeza musim ini selepas melantik bekas pengurus Juventus, Antonio Conte untuk membawa dimensi baru kepada Inter.

Conte cemerlang dengan dua kelab beliau sebelum ini. Menjuarai liga bersama Juventus dan Chelsea. Kehadiran beliau di Inter ini sudah tentu akan memperlihatkan sistem tiga pertahanan kembali. Ditambah pula kehadiran Romelu Lukaku.




Sedarkah anda Sarri, Ancelotti dan Conte memiliki persamaan tersendiri iaitu ketiga tiganya pernah membimbing Chelsea, cuma Sarri sahaja yang tidak dipecat.

AC Milan juga cuba mengubah arah pasukan dengan perlantikan pengurus baru, Marco Giampaolo. Antara jurulatih berpengalaman di Serie A.

AS Roma pula membawa masuk pengurus berusia 46 tahun dari Portugal, Paulo Fonseca. Sudah pasti beliau akan tampil dengan idea lebih segar untuk membantu Roma kembali ke persada yang lebih baik.

Atalanta boleh dikatakan pasukan yang berjaya mengejutkan ramai musim lalu. Pasukan yang di terajui oleh Gian Piero Gasperini ini berjaya menduduki tangga ketiga musim lalu sekaligus layak ke UEFA Champions League.




Ia merupakan sejarah untuk mereka pertama kali ke kejohanan berprestij Eropah tersebut selain Gasperini membawa Atalanta menduduki tempat ketiga, kedudukan paling tinggi dalam sejarah kelab tersebut.

Dengan penyerang yang klinikal seperti Duvan Zapata, sudah pasti Atalanta akan terus menggegarkan Serie A musim ini. Cabaran sengit akan berterusan dalam Serie A.

Jadi anda pilih pasukan mana?