header ads

ERIC CANTONA - PEMENANG ANUGERAH PRESIDEN UEFA 2019



Oleh: Kelvin Leng

Lagenda Manchester United era 90-an, Eric Cantona dan lebih dikenali sebagai 'King Eric' oleh para penyokong setia The Red Devils telah dipilih sebagai pemenang Anugerah Presiden UEFA 2019 sebagai penghargaan beliau dalam industri bola sepak khususnya di Eropah dimana beliau mencipta nama baik atau buruk semasa karier beliau sebagai pemain. 


Pemain kelahiran Perancis ini dengan nama asal Eric Daniel Pierre Cantona sememangnya seangkatan dengan seorang lagi lagenda Les Blues iaitu Zinedine Zidane namun atas beberapa faktor peribadi dan masalah dalaman dengan pasukan kebangsaan Perancis, Cantona tidak banyak diberi peluang mewakili pasukan kebangsaan negaranya sendiri. 

Malah beliau pernah mengumumkan persaraan dari bola sepak seawal usia 25 tahun pada Disember 1991 namun dipujuk oleh beberapa individu rapat beliau untuk meneruskan karier luar dari Perancis. 

Dari situ bermula satu tempoh kegemilangan Cantona apabila beliau menyertai Leeds United dan membantu pasukan dari Yorkshire ini menjuarai Liga Inggeris pada musim 1991/92 dengan persembahan menarik beliau. Musim berikutnya, setelah mengalami perselisihan faham dengan pengurus Howard Wilkinson, beliau telah dijual kepada pihak lawan iaitu Manchester United dengan harga £1.2 juta. 


Jika prestasi beliau di Leeds United amat bagus, di Manchester United, persembahannya adalah lebih hebat. Di Old Trafford, Cantona berjaya membantu pasukan di bawah bimbingan Sir Alex Ferguson mencapai 4 kejuaraan Liga Inggeris, 2 kejuaraan Piala FA dan 3 kejuaraan Perisai Sumbangsih. 

Beliau juga memainkan peranan penting dalam era dimana United menurunkan banyak pemain muda dan Cantona menjadi kapten pasukan selepas berakhir zaman Bryan Robson dan Steve Bruce dengan membimbing pemain muda seperti David Beckham, Ryan Giggs, Gary Neville, Nicky Butt dan Phil Neville untuk mencapai tahap yang dimahukan oleh pasukan. 


Selepas merasakan masa yang sesuai untuk pemain dari The Class of ‘92 ini telah bersedia untuk membawa United ke zaman seterusnya, Cantona secara mengejut mengumumkan dia bersara dari karier bola sepak secara rasmi sebulan selepas mengetuai United menjuarai Liga Inggeris pada 1997. Selepas bersara dari karier bola sepak, Cantona menceburi bola sepak pantai serta industri berlakon serta beberapa projek sukarela lain untuk membantu dalam pembangunan bola sepak secara keseluruhan. 


Dan sememangnya Eric Cantona ialah pemenang yang layak untuk Anugerah Presiden UEFA 2019 untuk segala khidmat serta tenaga yang dicurahkan oleh Cantona kepada bola sepak di dalam serta di luar padang. 

Dengan penganugerahan ini, Cantona telah mengikut jejak Sir Bobby Charlton dan David Beckham sebagai legenda Manchester United yang pernah menerima anugerah ini.


👑 Monsieur Cantona 👑 

#MUFC #GGMU #UEFA
#FootballLads